PERKEMBANGAN KERAJAAN TEMPATAN

Bermula dari tahun 1900, terdapat banyak sistem pentadbiran negeri dan daerah di Negeri Pahang yang telah diberi nafas baru melalui perubahan dasar-dasar pentadbiran oleh penjajah Inggeris. Antaranya ialah memperkenalkan sistem pantadbiran Penguasa tempatan yang bertanggungjawab terhadap perkhidmatan perbandaran dan kesihatan kepada penduduk-penduduk setempat.

Pengenalan sistem Penguasa Tempatan yang awal adalah berdasarkan kepada bidang kuasa "The Sanitary Boards Enacment, 1916. Melalui Warta Kerajaan Pahang bil. 2167 bertarikh
1 Ogos, 1963, "Kuantan Sanitary Board" telah ditubuhkan sementara itu "Gambang Sanitary Board pula telah ditubuhkan pada tahun 1928 di bawah Warta Kerajaan bil. 5157. Kedua-dua Penguasa Tempatan yang awal ini adalah bertanggungjawab terhadap kawalan kebersihan, kesihatan dan pembangunan di dalam kawasan pentadbiran. Jawatan Pengerusi bagi Kuantan Sanitary Board pada masa itu adalah disandang oleh Pegawai Daerah.

Pada tahun 1930, "The Town Boards Enacment (FMS. Cap. 137) telah dikuatkuasa bagi menggantikan "The Sanitary Boards Enacment, 1929". Dengan tidak secara langsung pada tahun 1937, "Kuantan Sanitary Board" telah digantikan dengan "Kuantan Town Board" (Lembaga Bandaran Kuantan) dimana peruntukan pentadbiran telah dikenalpasti di bawah Warta Kerajaan bil. 181 bertarikh 1 Mei, 1952) dan kemudian digantikan oleh Warta Kerajaan bil. 226 bertarikh 4 Jun 1953.

Sehingga 3 Disember 1953, melalui Warta Kerajaan bil. 454, Lembaga Bandaran Kuantan telah dinaikkan taraf kepada "Majlis Bandaran Kuantan" (Kuantan Town Council). Warta ini kemudiannya diganti dengan Warta Pahang LN.14 di bawah "Town Council Of Kuantan Order, 1960 bertarikh 3 April 1961 yang menetapkan keahlian Ahli Majlis Bandaran Kuantan ialah seramai 18 orang yang dipilih secara pengundian pada setiap tahun.

Pada 17 Ogos 1961 (W.K 356), Pihak Berkuasa Negeri telah melantik Tuan Haji (Dato') Abdul Aziz bin Ahmad (selaku Menteri Besar Pahang ketika itu) menjadi Yang Dipertua Majlis Bandaran Kuantan.

Jawatan ini kemudiannya dipertandingkan dan disandang secara bergilir-gilir oleh wakil dari parti UMNO dan MCA. Diantara Yang diPertua yang telah dipilih melalui proses pengundian daripada tahun 1961 hingga 1969 ini ialah Tuan Haji (Dato') Abdul Aziz bin Ahmad (UMNO), Dato' Lim Chin Hui (MCA), En. Mohd Ali bin Tahir (UMNO) dan En. Kong Siew Hock (MCA). Sistem pengundian ini mengakhiri kesinambungan kuasa pentadbiran Pegawai Daerah sebagai Pengerusi Majlis Bandaran Kuantan.

Pada 6 April 1967, kawasan pentadbiran Majlis Bandaran Kuantan telah diperluaskan menjadi 10 batu persegi (W.K. 129). Penambahan kawasan ini adalah sejajar dengan kepesatan pambangunan bandar Kuantan serta peranan Kuantan sebagai Ibu Negeri Pahang. Sehingga
1 September 1969, melalui "Town Council Of Kuantan (Transfer Of Function) Order, Pihak Berkuasa Negeri telah mengistiharkan penurunan kuasa-kuasa pentadbiran Majlis Bandaran Kuantan yang sepenuhnya kepada menteri Besar untuk melantik Pengerusi Majlis Bandaran.

Dengan yang demikian, berakhirlah sistem perlantikan Yang Dipertua secara pertandingan, dan bermulalah era pentadbiran Penguasa Tempatan yang disandang oleh pegawai-pegawai PTD yang dilantik oleh Pihak Berkuasa Negeri.

Diantara pegawai-pegawai PTD yang dilantik menjadi Pengerusi Majlis Bandaran Kuantan ialah Encik (Dato') Abdul Rahim bin Bakar (1969-1972), Allahyarham (Dato') Abdullah bin Haji Kia (1972-1973), Encik Mustafa bin Halimi (1973-1975) dan Encik Hoesne bin Hussain (1975-1979).

Pada 1 September 1979 (Melalui Warta Kerajaan Pahang bil. 376 dan Pelan Warta 1145), Majlis Bandaran Kuantan telah dinaikkan taraf menjadi MAJLIS PERBANDARAN KUANTAN dengan keluasan kawasan pentadbiran seluas 125 batu persegi (324 km persegi). Kenaikan taraf ini adalah dipengaruhi oleh faktor-faktor berikut:

*    Kepesatan pembangunan perbandaran Kuantan yang mencakupi kawasan di luar Majlis Bandaran Kuantan.

*    Kemasukan kawasan pentadbiran Majlis Tempatan Tanjung Lumpur, Gambang, Beserah, Sungai Lembing, Paya Besar, Balok, Chendor dan lain-lain ke dalam kawasan Majlis Perbandaran Kuantan.

*    Berkuatkuasanya Akta Kerajaan Tempatan, 1979 (Akta 171), Akta Perancangan Bandar Dan Desa, 1976 (Akta 1972), Akta Jalan, Parit dan Bangunan, 1974 (Akta 133) serta lain-lain undang-undang kecil bagi menggantikan "Town Boards Enactment, 1930 (FMS. Cap.137).

Dengan kenaikan taraf ini, sistem pentadbiran yang baru telah diperkenalkan di bawah undang-undang Akta Kerajaan Tempatan, 1976 yang memperuntukan jawatan Ketua Eksekutif disandang  oleh Yang Dipertua (YAB Menteri Besar) dan dibantu oleh 24 orang Ahli-Ahli Majlis (Seksyen 10(1) Akta 171). Daripada tahun 1979 jawatan ini telah disandang oleh:

1)    Tuan Haji (Dato') Abdul Rahim bin Bakar (1979-1981)

2)    YAB Dato' Haji Abdul Rashid bin Abdul Rahman (1981-1982)

3)    YAB Dato' Seri Mohd Najib bin Tun Abdul Razak (1982-1986)

4)    YAB Tan Sri Dato' Haji Mohd Khalil bin Yaakob (1986-1998)

5)    YH Dato' Haji Mohamad bin Saib (1998- sekarang)

MENU UTAMA