PERKEMBANGAN PENDIDIKAN

Diperingkat awal (sebelum perang), sistem pendidikan di Kuantan tidaklah semaju seperti di Bentong dan Kuala Lipis. Ini disebabkan oleh sistem perhubungan yang agak ketinggalan disamping pembangunan ekonomi yang kurang menarik, taburan penduduk yang tidak sekata dan terdapatnya komposisi etnik.

Pada akhir kurun ke 19 dan awal kurun ke 20, wujud pula syarikat-syarikat milik orang Eropah yang mengusahakan ladang-ladang getah, lombong bijih dan lain-lain. Orang-prang Cina lebih tertarik dengan aktiviti ini yang akhirnya menduduki kawasan bijih di Sungai Lembing dan Gambang.

Sekolah Melayu yang awal dibina ialah pada penghujung tahun 1890an. di Sekitar tahun 1904-1905 sekolah ini dipindahkan dari tapak asal (di sudut tapak pasar lama berhampiran Jalan Lebai Ali) ke tapak baru di Padang Lalang. Ketika itu dikenali sebagai Sekolah Melayu Padang Lalang.

Selepas tahun 1903 hingga ketibaan tentera Jepun, lapan buah sekolah telah didirikan. Dalam tahun 1938, murid-murid lelaki di Sekolah Padang Lalang telah dipindahkan ke Sekolah Melayu Laki-Laki Teruntum, di Jalan Gambut dan Sekolah  Padang Lalang telah dijadikan Sekolah Melayu Perempuan. Sekolah ini ditutup setelah Sekolah Perempuan Galing siap dibina pada tahun 1948.

Antara tahun-tahun 1945-1957 beberapa sekolah lagi telah dibina iaitu Sekolah Kebangsaan Galing (1948), Sekolah Kebangsaan Jabor (1950), Sekolah Kebangsaan Sungai Ular (1951) dan Sekolah Kebangsaan Cerating (1952).

Di awal pemerintahan Kerajaan Inggeris hanya sebuah sekolah Inggeris yang ada iaitu pada tahun 1920. Murid-murid hanyalah berjumlah 10 orang yang belajar di bangunan Gudang Padi Kerajaan di Jalan Wall (Jalan Mahkota). Dalam tahun 1924 bangunan sebenar sekolah ini telah dibina di Jalan Wong Ah jang iaitu Sekolah Sultan Abdullah. Lain-lain sekolah Inggeris yang awal dibuka oleh mubaligh-mubaligh Kristian ialah Sekolah Perempuan Methodist (1938), Sekolah St. Thomas (1950) dan Sekolah Rendah Assunta Convent (1956).

Pada tahun 1955, Kerajaan Negeri telah memindahkan Ibu Negeri Pahang dari Kuala Lipis ke Kuantan. Sejajar dengan taraf ibu negeri, Kerajaan Negeri telah membuka banyak sekolah menengah (Inggeris) yang dilengkapkan dengan kemudahan-kemudahan asas seperti asrama, kantin dan lain-lain.

Sekolah Menengah Sultan Abu Bakar telah dibuka pada tahun 1957. Sekolah ini menjadi salah satu daripada sekolah terkemuka di Pahang yang dapat mengatasi Sekolah Menengah Clifford Kuala Lipis. Sekolah lain yang dibina ialah Sekolah Menengah Abdul Rahman Talib (1963), Sekolah Menengah Alor Akar (1965), Sekolah Menengah Sungai Lembing (1965) dan Sekolah Menengah Ubai (1965).

MENU UTAMA

KERAJAAN TEMPATAN