PERKEMBANGAN KUANTAN

  Arus perkembangan Kuantan dari tahun 1860 hingga 1970 adalah dipengaruhi oleh faktor-faktor berikut:

PUSAT PENGELUARAN DAN PENGUMPULAN HASIL BIJIH TIMAH DAN LAIN-LAIN BAHAN MENTAH.

    Kuantan mula membangun apabila bijih timah dijumpai di kawasan Gambang dan Sungai Lembing. Perlombongan bijih timah di Sungai Lembing telah diusahakan semenjak zaman pra-sejarah lagi. Tiada perlombongan secara intensif dijalankan sehingga lah pada abad ke 19 apabila kaum bumiputera dan orang-orang Cina meningkatkan aktiviti mereka di kawasan perlombongan tersebut.

    Kawasan perlombongan bijih timah di Gambang  telah dibuka oleh orang-orang Cina pada awal tahun 1880an sementara kawasan perlombongan Sungai Lembing pula dibuka pada tahun 1868 oleh Lim Ah Sam (Baba Assam). Pada tahun 1887 (5), ianya telah diusahakan secara intensif oleh Syarikat The Pahang Corporation Limited.

    Hasil bijih timah daripada Gambang dibawa ke Kuantan melalui Sungai Belat di Gudang Rasau (6), manakala hasil daripada Sungai Lembing Lembing pula dibawa ke Pasir Kemudi dengan keretapi dan kemudian diangkut dengan kapal wap (7) ke Kuantan untuk dieksport ke Singapura.

    Bagi memenuhi keperluan aktiviti ini, beberapa kawasan di pinggir Sungai Kuantan telah dimajukan sebagai pusat pengurusan dan pengumpulan bahan-bahan mentah ini. Disamping penyediaan kemudahan pelabuhan, pejabat  Kastam, pasar, pejabat pentadbiran daerah dan sebagainya yang terletak di sekitar Jalan Besar, Jalan Mahkota dan pinggir Sungai Kuantan.

    Dengan corak pembangunan ini, kawasan bandar mula didiami oleh orang-orang Cina, sementara itu orang Melayu yang mula membuka penempatan awal di tebing Sungai Kuantan telah berpindah ke kawasan seperti Tanjung Api, Tanjung Lumpur, Beserah, Tanah Putih dan lain-lain.

PEMODENAN DAN PERUBAHAN DASAR-DASAR PENTADBIRAN

    Campurtangan Inggeris di dalam pentadbiran Negeri Pahang pada tahun 1888 telah memulakan era sistem Residen. Melalui sistem ini, pentadbiran Negeri Pahang telah dibahagikan kepada beberapa daerah (8).

    Daerah Kuantan telah ditadbirkan oleh seorang Pegawai Daerah (W.G Maxwell - 1805 hingga 1896) yang mempunyai bidang kuasa yang luas di dalam hal ehwal pembangunan tanah, percukaian dan kemasyarakatan.

    Bagi melicinkan pentadbiran daerah, bangunan Pejabat Daerah yang pertama telah didirikan di kawasan Medan Pelancong dan kemudian dipindahkan ke bangunan Pejabat Penghulu (Pajabat Daerah sekarang) di Jalan Masjid pada tahun 1907.

    Pada 2 Mac 1953, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Pahang telah membuat keputusan untuk memindahkan pusat pentadbiran negeri di Kuala Lipis ke Kuantan. Dengan daya usaha dan ketegasan YAM Tengku Muhammad Ibni Al-Marhum Sultan Ahmad, selaku Menteri Besar dan Tun Abdul Razak bin Dato' Hussein selaku Setiausaha Kerajaan pada masa itu, pada 25 Ogos 1955, KDYMM Sultan Abu Bakar Riayatuddin Al - Muadzam Shah Ibni Almarhum Al Mutasim Billah Al Sultan Abdullah, DK., SIMP., DMN,. DK. (Brunei), DK. (Johor), DK. (Kedah), DK. (Perak), G.C.M.G., dengan rasminya telah mengistiharkan Kuantan sebagai Ibu Negeri Pahang yang baru.

    Sebagai pusat pentadbiran, pejabat-pejabat kerajaan dan segala bentuk kemudahan telah diadakan di kawasan sekitar Jalan Gambut dan Jalan Masjid sementara itu rumah-rumah kerajaan (kuarters) telah dibina di sekitar Jalan Telok Sisek, Jalan Tanah Putih, Jalan Haji Abdul Rahman dan Jalan Dato' Lim Hoe Lek daripada tahun 1948 hingga 1970an.

MENU UTAMA

INFRASTRUKTUR