SEJARAH PEMBUKAAN KUANTAN

   Melalui catatan sejarah, Kuantan telah wujud semenjak awal tahun 1850-an. Kewujudan Kuantan pada kurun ke 19 adalah bermula sebagai sebuah penempatan. Kewujudan Kuantan ini telah disentuh oleh Abdullah Munsyi pada tahun 1851/52 seperti berikut:

    "Hatta pada malam Khamis datanglah sebuah perahu kecil dari KUANTAN. Maka berkhabarlah ia kepada anak-anak perahu mengatakan ada perahu lanun di Tanjung Tujuh, empat puluh buah dan di Pulau Kapas pun ada, dan di Pulau Redang pun ada, maka telah didapati dua buah perahu orang Kuantan dan dua buah lepas lari.........." (1)

    Pada peringkat awalnya Kuantan lebih dikenali dengan nama Kampung Teruntum. Penempatannya adalah di sekitar muara Sungai Kuantan iaitu berhadapan dengan bangunan hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) sekarang . Ia telah dibuka oleh Haji Senik (2) dan pengikut-pengikutnya dalam tahun 1850an.Nama Teruntum ini dikatakan berasal dari pokok Teruntum yang banyak terdapat di pinggir Sungai Kuantan pada ketika itu.

    Semasa tinggal di sini mereka mengusahakan kawasan paya yang terletak di tapak hospital  sekarang disamping menangkap ikan dan berniaga secara kecil-kecilan. Bukti bahawa kawasan tersebut telah dijadikan penempatan ialah Perkuburan Cik Timah (3) berhampiran Taman Esplanade (Benteng) sekarang.  Tapak Perkuburan Cik Timah.

  Selain dari itu dikesahkan juga bahawa terdapat sebuah perkampungan di hulu Kampung Teruntum yang dibuka pada tahun 1854 oleh orang Melayu dari daerah Sumatera. Mereka diketuai oleh Encik Besar (4). Tempat ini kemudiannya dikenali dengan nama Kampung Orang Kuantan dan lama kelamaan panggilan ini di pendekkan kepada perkataan "Kuantan" dan kekal sehingga ke hari ini.



(1)    Abdullah Abdul Kadir Munshi (1851-1852), Kesah Pelayaran Abdullah Ke Kelantan, Oxford University Press, Kuala Lumpur, 1960, hal 38.

(2)    Haji Senik adalah seorang tokoh ulamak berasal dari Patani, Selatan Thai.

(3)    Cik Timah adalah anak kepada Haji Senik yang telah dimakamkan di tanah perkuburan tersebut. Apabila Taman Esplanade diwujudkan di situ, ia melibatkan sebahagian dari tanah perkuburan tersebut maka perkuburan Cik Timah telah dipindahkan ke Beserah dan kekal sehingga ke hari ini.

(4)    Diceritakan oleh Tuan Syed Abdul Rahman melalui Encik A.M Hyde (Pegawai Daerah Kuantan - 1937) di dalam buku Port Weld To Kuantan oleh S. Durairaja Singam F.R.G.S

MENU UTAMA

PERKEMBANGAN